Subscribe to Subscribe to 's comments

Archive for the ‘Menjelajahi Alam Ghaib’ category

(Jun 2012)

ratuKetika menulis manuskrip ini, ibu bermimpi lagi. Kisah yang agak sama, terbang menjelajahi bumi  dan mengapung diri di langit.

Kali ini benar-benar sedikit lain dari yang sebelumnya. Di tunjukkan bagaimana cara ibu mengapung diri dan terbang di udara. Ibu juga di temani seorang ‘sahabat’ yang baru di kenali, iaitu seorang gadis berusia 17 tahun. Ibu seakan-akan mengenali dia di zaman persekolahan, kami sebaya dan satu tempat pengajian. Melihat diri dia seperti remaja sekolah, ibu merasakan seperti berumur 17 tahun juga. Kelihatan cuma kami berdua sahaja ketika itu berada di langit yang luas.

Keadaan di waktu subuh sungguh dingin sekali. Ibu melihat cara sahabat ibu ini terapung dan terbang agak sedikit berlainan dengan ibu. Tangannya mendepa luas dan kakinya di angkat satu dengan membengkok sedikit lututnya. Agak mudah juga cara terbangan begitu. Seperti terbangan burung helang. Namun ibu lebih selesa dengan gaya tersendiri. Mendekatkan kedua tapak tangan di dada dan menekan sekuat yang boleh dan kaki kami sama-sama di posisi yang sama, iaitu sebelah kaki kanan di angkat di atas. Kekuatan tangan yang melekat antara satu sama lain itu menjadi stereng ketika ibu terbang, dan ia boleh membelokkan seluruh badan ke kiri dan ke kanan. Sekali lihat, seperti orang bertapa.

  Cara apungan ibu di udara seperti dalam gambaran sebelah.
 terbang 2 Dan gaya sahabat ibu itu seperti di sebelah.

 

Dia menemani ibu menjelajahi bumi dan kami melihat bumi dari pandangan atas setinggi langit malah lebih tinggi dari gunung ganang yang ada. Kami membuat beberapa singgahan termasuk satu singgahan di sebuah puncak gunung. Ibu melihat gunung yang tinggi bersalji dan gaung di bawah. Masya Allah. Begitu gayat sekali terasa diri ini, hanya Tuhan saja yang tahu.

Sahabat ibu itu sungguh berani sekali dan mengajak ibu teruskan terbangan melewati gaung-gaung tersebut.

Kami seperti dalam kedudukan yoga, berdiam diri namun dapat terapungan di awan melewati kawasan perkampungan manusia menuju ke sebuah bandar kecil.

Beginilah keadaan kami terbang sehingga bisa pergi kemana-mana saja. Bebas. Sungguh bebas. Tiada kuasa jahat yang menghampiri kami di malam itu. Cuma kami berdua.

Tidak seperti superman seperti yang di gambarkan di dalam filem. Terbangnya seperti tidur meniarap dengan tangan satu. Tapi kami cuma berdiri dan terapung di udara.

Ketika berdua, ibu sempat berbual dengan sahabat ini. Rupanya sahabat sudah lama mempunyai kelebihan ini sejak dari kecil. Dia juga ada menyebut satu nama yang tidak asing bagi ibu, tentang seorang lagi teman seperjuangan yang mempunyai kelebihan terbang yang sama. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ibu tahu siapa lagi yang boleh bertapa dan terbang seperti ibu.

Kami berhenti disebuah pekan kecil. Terlihat orang menjual ‘bubble tea’ dan yong tau fu. Entah di mana, seperti kawasan di pekan cina (china town). Suasananya sungguh meriah di waktu malam, dengan lampu neon di sana sini. Kami berjalan lagi sehingga ibu terkejut dari mimpi. Jam menunjukkan pukul 5.45 pagi. Seperti biasa, ibu akan tersenyum seorang diri pabila tersedar dari mimpi yang indah. Lalu ibu kejutkan suami.

(April 2012)

villa

Jarang sekali ibu bermimpi bertemu iblis. Agak sudah bertahun-tahun mimpi ibu tidak termasuk dalam ‘channel’ iblis.

Banglo lama ibu, Villa Asmara baru di diami genap 3 bulan setelah siap di ubah suai. Ibu ada juga mendengar cerita  tentang kawasan sekitaran yang agak ‘gelap’ sedikit. Ada satu dua cerita tentang iblis di kawasan itu tetapi tidak mengganggu manusia.

Suatu malam ibu berada di sebuah rumah seperti rumah setinggan setingkat. Di ruangan dapur, Ibu bersama seorang bomoh yang sedang menghalau satu makhluk iblis ini dari rumah berkenaan. Ibu tidak melihat wajah iblis tersebut tetapi tahu iblis itu sedang bertenggek di atas para dapur. Bomoh memberitahu ibu bahawa itu adalah energi gentayangan kemungkinan seorang lelaki yang pernah di bunuh disini dan wujud ghaibnya menjadi iblis.

Setelah bomoh itu beredar, ibu berdialog dengan iblis tersebut. Dengan nada marah ibu berkata, ‘ engkau iblis laknatullah, nyah engkau dari sini’. Sambil tangan menunjuk-nunjuk dan bercakap-cakap dalam tidur, suami terus kejutkan ibu.

Aduh…boleh bermimpi iblis rupanya. Ibu pun berkata kepada suami,’saya mimpi roh lelaki ada di bunuh di sini. Dia menjadi milikan iblis. Ia di kawasan sekitar rumah ini, dan tak mungkin rumah orang lain.’

Selalunya mimpi sebegini, roh ibu tidak pergi jauh. Pasti berada rumah sendiri atau berdekatan. Ada juga suami pusing keliling rumah mencari sebarang petanda seperti batang paip yang terlihat di dalam mimpi, namun tidak menemui apa-apa.

Agak-agak sebulan berlalu, ibu berkesempatan bertemu dengan orang lama yang tinggal disini sejak 20 tahun yang lalu. Ibu bertanya jika dia tahu apa-apa berita tentang kisah rumah ini. Dia berkata, ‘jika puan tidak tanya saya, saya pon tidak akan cerita’.  Memang 20 tahun yang lalu, kawasan sekitar rumah ibu adalah hutan dan setinggan Indonesia. Memang ada seorang lelaki Indonesia di bunuh, di kerat-kerat dan diletak dalam guni di rumah tersebut, yang kebetulan rumahnya terletak di belakang rumah ibu bersebelahan sungai.

Masya Allah. Memang benar mimpi ibu.

Dahulu sini adalah kawasan hutan dan sungainya agak besar berbanding sekarang. Dan sungai tersebut menjadi tempat ‘buangan’ roh-roh jahat. Katanya lagi, memang selalu ada hantu suka menunggu di simpang Jalan depan rumah di waktu malam sehingga penduduk kampong seram untuk melalui Jalan tersebut.

Tetapi setelah masa berlalu dan kawasan tanah sudah di beli oleh penduduk melayu dan hutan di cerahkan, sudah kurang kes-kes hantu di situ. Masjid sekitaran juga selalu memainkan bacaan al-quran setiap hari melalui corong speaker masjid. Alhamdulillah.

Masakan roh ibu boleh memarahi dan menghalau iblis jika tiada iblis berkeliaran di situ. Pohon tidak bergoyang jika tiada angin.

Sejak peristiwa tersebut, ibu selalu membaca yassin di ruangan belakang (garden) rumah ibu sehingga tiada lagi rasa seram sewaktu mengambil angin di belakang. Maklumlah banyak ‘persinggahan’ dan ibu harus berhati-hati takut gangguan datang berterusan.

Rumah banglo ini agak lama tidak di urusi dengan baik. Sudah menjadi lalang di belakangnya sebelum kami beli. Namun ia sudah cerah dan bersih dari sebarang  ‘singgahan’ energi gentayangan dari jenis jin dan iblis. In sya Allah.

(Tahun 2009)

debu biruIbu bermimpi lagi tika menjelang  tengah malam sebelum subuh. Berada di sebuah padang yang luas dan cahaya nya sungguh terang. Rupanya ia adalah sebuah padang pasir. Kelihatan ramai orang-orang arab tinggal di sini, dan rumah-rumah mereka seperti rumah gua dari padang pasir.

Pemandangan padang pasir itu indah seperti dunia yang lain. Ibu berjalan menghampiri perkampungan gua pasir tersebut. Ibu melalui rumah-rumah kecil di kiri dan kanan gua umpama melalui lorong-lorong yang berpasir halus. Jalan kiri dan kanan padat dan sempit. Ibu melihat beberapa wanita arab ini menyapu debu-debu yang memasuki rumah mereka. Pasir tersebut seperti debu halus berwarna biru. Ianya begitu halus sehingga tidak terasa seperti debu yang kotor. Terasa seakan udara yang berwarna biru. Masyaallah, suasana udara dan debunya berwarna biru? Apakah mungkin debu biru kerna anginnya biru atau langitnya biru sehingga ia bisa memancar warna debu yang biru? Aneh.

Ibu berhenti di sebuah rumah. Mereka sedang menghidangkan makanan dan terus mengajak ibu menjamah makanan bersama-sama. Alhamdulillah. Apalagi ibu pun tidak segan silu untuk makan bersama. Ibu melihat seperti nasi arab tetapi lauk masak merah ayam pun ada. Sungguh sedap, bau dan rasa seperti masakan bonda.

Masya Allah, rupanya masakan bonda berasal dari sini. Kata ibu di dalam hati.

Wanita-wanita arab itu sungguh montel semuanya. Kulit wajah mereka  begitu mulus dan putih.  Saiz badan mereka agak montok dan gemuk, tidak seramping orang melayu. Rata-rata mereka memakai jubah atau pakaian berwarna hitam.

Ketika sedang menikmati makanan nasi arab, ibu tersedar dari mimpi yang asyik itu.

Sehingga kini ibu tidak pasti ia dimana, di bumi atau di syurga atau di alam wali suci. Namun pengalaman melihat dan menyentuh debu berwarna biru sungguh mengasyikkan sekali.

Pabila ibu membaca cerita tentang hamparan padang putih yang luas, ibu teringatkan tempat ini. Padang pasir seakan warna putih , sehingga ia dapat memantul warna biru langit. Andai ini benar, sesungguhnya ibu sudah melepasi alam al mulk yang didiami oleh bangsa Jinn di daerah Gunung Qaf. Kerna sebelum mimpi ini, ibu ada mendaki pergunungan sejuk dan di bawahnya laut biru. Ibu juga pernah bermain dan mandi air laut dari tebing gunung yang tinggi dan airnya sungguh biru, sebiru langit yang cerah. Mungkinkah ini Alam Laut yang dikelilingi oleh Gunung Qaf dan penghuninya adalah Jin?

Itulah mimpi yang membawa kita bertemu dengan kaum asing, orang asing dan tempat asing. Perjalanan rohani yang mampu pergi jauh tanpa kita ketahui dan menyingkap sejarah alam yang merentasi jarak masa yang panjang.

(Tahun 2001)

Tiada manusia yang dapat jejak ke Segitiga Bermuda  dengan selamat. Banyak kapal laut dan kapal terbang yang hilang di telan pusaran air dari bawah laut dan di hancurkan dek putaran puting beliung dari udara. Memang telah di akui oleh ahli sains tentang kewujudan gangguan magnet dari paksi bumi di daerah segitiga Bermuda serta pertembungan antara dua aliran air laut yang panas dan sejuk. Jika menurut ahli kitab, disitulah tempat kuasa gelap yang terbesar dunia, dan dasar lautan adalah mahligai bagi mereka di bawah taklukannya.

Kalau mengikut usia di waktu itu, ibu masih belum kebal dari segi ilmu dan mudah sekali di hanyutkan oleh iblis dan permainan manusia.

Suatu hari ibu bermimpi berada di sebuah pulau bernama Sicily. Dari gunung yang tinggi di pulau tersebut ibu tergelincir dan terjatuh. Namun sempat berpegang kepada satu tali kabel yang membawa penumpang (tourist) melintasi kawasan pergunungan. Kabel itu kemudian terputus dan ibu berpaut hanya kepada tali yang terputus. Terjatuh dan terputus. Aduh….

Dengan kepantasan tali kabel bergerak, ibu seperti merentasi lautan yang luas. Suasana seperti di waktu subuh, dan kedinginan malam telah menusuk tubuh ibu yang sedang bergayut di talian kabel. Masya Allah sungguh dingin sekali terasa dan begitu jauh perjalanan seperti merentasi benua dan lautan sehingga terasa kebas tangan bergayut.

Dari suasana gelap subuh sehingga langit semakin cerah, akhirnya ibu sampai ke kawasan tebing pasir. Kelihatan kapal selam yang melewati kawasan tersebut. Juga kelihatan beberapa kapal besar yang lain. Ketika kabel menghampiri tebing pasir, ibu melepaskan tangan dan jatuh ke dalam air cetek. Tebing pasir tinggi dan panjang, serta tanahnya berwarna selut merah.

Kelihatan ramai lelaki persis seperti pelaut , dan ada yang memakai pakaian seperti kelasi kapal. Mereka kebanyakan lelaki berkulit putih (white) dan berjambang. Mereka seperti orang-orang kasar. Ketika di bawa naik ke daratan oleh salah seorang dari lelaki tersebut, ibu di bawa ke sebuah rumah. Banyak rumah-rumah yang kelihatan namun ada sebuah rumah kayu di atas bukit. Rupanya rumah itu di diami oleh seorang wanita Indonesia. Dia berwajah agak garang dalam usia 40-an. Memilki tubuh yang berisi dan berambut panjang, kerinting dan agak berombak. Rambutnya hitam dan kulitnya juga hitam. Wajahnya agak seperti orang jawa, hidung pesek dan lebar sedikit.

Setelah menceritakan peristiwa yang terjadi, wanita itu memberitahu bahawa ibu berada di tempat yang jauh dari Malaysia, iaitu di Segitiga Bermuda. Masya Allah. Jauhnya perjalanan.

Dia sudi memberi bantuan. Melalui bantuan wanita itu, ibu akan dikirim pulang menaiki helikopter.  Ketika sibuk memerhati pasukan penyelamat helikopter tiba, lalu ibu terkejut dari mimpi yang panjang.

Alhamdulillah. Terasa begitu lega, mujur ibu tidak maut ketika tergelincir dari sebuah gunung. Kesejukan berpaut di talian kabel dan perjalanan yang begitu jauh terasa sangat mendebarkan. Mujurlah ibu kebal dari cengkaman bisa iblis di Segitiga Bermuda.

Kalau menurut ibu, wanita tadi juga adalah seorang ibu keramat yang memiliki kelebihan dan sakti. Dia kebal orangnya dan boleh berada di Segitiga Bermuda jika bantuan diperlukan. Berasal dari Indonesia. Orang Bali memanggilnya Ibu Negara namun pasti ramai rakyat Indonesia mengenali beliau secara ghaib.

(Tahun 1999)

padangSuatu mimpi yang pendek tetapi memberi kesan yang masih kedengaran sehingga kini.

Mimpi ibu sudah mati dan terbangun dari kematian.

Berada di tengah-tengah padang yang hijau seluas mata memandang. Sungguh kosong padang itu. Tiba-tiba di kejutkan oleh satu suara keras dari langit. Suara itu memanggil nama ibu dan ia kedengaran maha kuat seperti kuatnya bunyi guruh halilinta. Ibu terjaga!!

Ibu terjaga dari sebuah kematian?

Kemudian ibu berada di luar sebuah rumah kayu. Di sana, melihat tubuh ibu yang sudah meninggal dunia di ziarahi kaum keluarga. Suara mereka sayup-sayup kedengaran walaupun ibu berada berhampiran mereka. Suara sedang bercakap dan ada yang sedang mengaji Al Quran namun suara mereka sayup, jauh kedengaran..

Apakah ruh orang mati tidak boleh mendengar percakapan orang hidup dengan jelas?

Suara itu sungguh jauh sehinggakan seperti tidak nyata lagi. Yang nyata adalah suara yang tidak dapat didengari oleh manusia hidup, iaitu suara keras dari langit. Masya Allah. Beginilah rasanya pabila manusia bangun dari kematian.

Tiba-tiba ibu terjaga dari tidur. Terasa lega apabila itu hanyalah mimpi.

Apakah pengajarannya?

Apakah suara yang keras itu suara malaikat? Jibrail atau Israfil atau Izrail? Yang pasti itu adalah suara malaikat yang menggerunkan. Masya Allah. Ibu sudah mendengar suara malaikat walaupun sekejap namun ia masih boleh kedengaran sehingga kini.

Jika di tafsir, mimpi sebuah kematian adalah simbol transformasi diri. Jalan yang bakal di lalui selepas itu adalah Jalan yang baru atau kehidupan yang baru. Ia juga bermaksud apa saja pencapaian yang telah di lalui akan tamat dan kehidupan yang baru akan di lalui.

Suara malaikat yang keras itu menyatakan pengalaman baru untuk ku memasuki alam ruh. Ia memperlihatkan ku akan kebesaran Allah dengan menzahirkan bunyi suara yang dahsyat dari suara malaikat. Terasa diri ini kerdil dan lemah disisi-Nya.

Selamat Datang

Log in

Lost your password?